Pada awal tahun 2000,
perkhidmatan pemulihan pertuturan-bahasa telah menjadi satu daripada
perkhidmatan kesihatan yang penting bagi penduduk Malaysia. Ini selaras dengan
perkembangan kesihatan negara yang semakin maju mengikut arus permodenan
negara.
Permintaan terhadap
perkhidmatan rawatan masalah pertuturan-bahasa & penelanan telah meningkat
dalam masyarakat. Melihat kepada situasi ini Kerajaan Malaysia telah merencana
Akta Profesion Kesihatan Bersekutu bagi memastikan perkhidmatan kesihatan
bersekutu yang telus dan terbaik diberikan pada masyarakat.
Berdasarkan keperluan penyempurnaan Akta Profesion Kesihatan
Bersekutu ini serta kebajikan Patologis Pertuturan seluruh Malaysia, satu badan
yang mewakili profesion perkhidmatan ini perlu diwujudkan.
Pada 22 March 2010,
Persatuan Patologis Pertuturan-Bahasa, Malaysia (SPEAK) telah ditubuhkan. Pada
ketika tersebut persatuan ini mempunyai ahli seramai 25 orang yang terdiri
daripada mereka yang berkhidmat di sektor swasta , kerajaan, universiti malah
mereka yang memberi perkhidmatan secara “freelance”.
Memajukan perkembangan profesion dan
menjaga kebajikan perkhidmatan telah menjadi misi dalam pembentukan persatuan
ini. Persatuan telah menjadi perantara
antara masyarakat dan profesion dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang
terbaik.